Slide background
Slide background
Slide background
Slide background
Slide background
Slide background

Khidmat PASTI

Gerai PASTI

Umrah PASTI

Pautan PASTI

BULETIN PASTI MALAYSIA 2018

PERUTUSAN KETUA PENGARAH PASTI MALAYSIA 2019.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan Semesta Alam, salam dan salawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad (saw) dan keluarganya, para sahabat, para pejuang Islam sepanjang zaman, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. 

Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita masih lagi diberi kesempatan meneruskan kehidupan di atas muka bumi-Nya ini bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai hamba-Nya untuk diri, keluarga, masyarakat, umat Islam dan perjuangan Islam keseluruhannya. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memberi petunjuk dan hidayah kepada kita dalam menjalani kehidupan menuju keredaan-Nya.

Saya bagi pihak PASTI mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutamanya ibu bapa yang sentiasa memberi kepercayaan kepada kami untuk mengasuh dan mendidik anak-anak tuan puan di PASTI ini. PASTI adalah pilihan utama rakyat Malaysia. PASTI menerima permintaan yang sangat tinggi di kalangan ibu bapa masa kini. Pada tahun 2019, jumlah murid PASTI telah mencecah melebihi 130 ribu orang di 2,300 buah PASTI di seluruh negara.

Di awal penubuhannya, PASTI diasaskan daripada hasil usaha murni pimpinan PAS terdahulu yang mempunyai kesedaran serta kesungguhan untuk menjadikan pendidikan berteraskan Islam. Pada tahun 1988, PASTI diletakkan di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

PASTI beroperasi secara sah di sisi undang-undang melalui Akta Pertubuhan 1966 sebagai aktiviti parti dan selari dengan kehendak Perlembagaan PAS, Fasal 6(2) berkaitan usaha-usaha pendidikan. PASTI tidak berorientasikan perniagaan tetapi matlamat utamanya melaksanakan khidmat fardu Kifayah kepada masyarakat dan umat Islam. 

Seramai lebih 7,500 orang guru terlatih dan berkemahiran berkhidmat di PASTI. PASTI melalui Institut Perguruan PASTI Malaysia (IPPM) sentiasa memberi latihan yang berterusan kepada guru-guru ini sepanjang tahun. IPPM telah memperluaskan Sijil Perguruan PASTI kepada latihan di peringkat diploma iaitu Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK). Usaha gigih ini dilaksanakan dalam rangka melahirkan guru PASTI yang berilmu, terlatih dan profesional sekaligus menjadikan PASTI institusi pendidikan prasekolah yang berkualiti dan unggul selari dengan perkembangan arus perdana pendidikan negara.

Di PASTI, anak-anak menerima asuhan dan pendidikan Islam dan akademik. Selain mempelajari bahasa, sains dan matematik, mereka juga dibimbing agar bersyahsiyah Islam melalui penekanan perlaksanaan ibadah wajib dan sunat, doa-doa amalan harian, menghafaz surah-surah Al-Quran serta Hadis Rasullullah (saw) dan mempelajari sirah para Nabi bagi membentuk akhlak yang mulia. Aktiviti kokurikulum juga telah dirancang sejak awal tahun seperti sukaneka, lawatan sambil belajar dan sebagainya lagi. Usaha mencungkil bakat anak-anak melalui program Alam Ria PASTI serta Pesta Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring akan diadakan pada tahun ini bermula di peringkat PASTI Kawasan, Negeri sehingga peringkat Kebangsaan. Semoga segala usaha dan perancangan ini dapat membentuk anak-anak PASTI menjadi insan soleh, pintar dan berketrampilan, menjadi kebanggaan para ibu bapa.

Akhirnya, saya mewakili PASTI Malaysia sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para ibu bapa yang sentiasa memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada PASTI. Tidak dilupakan juga kepada para muallimah dan Jemaah pengurusan PASTI seluruh Malaysia yang telah berjaya memulakan sesi persekolahan 2019 dengan iltizam dan semangat yang tinggi. Diharapkan permulaan baik tahun 2019 ini menjadi pemangkin untuk kita terus bekerja keras dan sentiasa menjaga nama baik PASTI. Semoga rahmat dan nusrah daripada Allah SWT sentiasa mengiringi kerja amal kita seterusnya membawa kejayaan hebat kepada PASTI dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

YB. USTAZ MOHD AZAM BIN ABD SAMAT
Ketua Pengarah PASTI Malaysia

PASTI Berperanan Beri Dimensi Baru Dalam Pendidikan

 

 

 

 

 

PORT DICKSON: PASTI perlu mengambil peranan yang lebih efektif dalam membawa dimensi baru dalam bidang pendidikan dengan mengambil peluang seluas-luasnya kewujudan teknologi baru.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin, antara perkara yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan teknologi baru dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi maklumat bagi mendepani era ‘Internet of Things’ serta Revolusi Industri 4.0.

Untuk itu katanya, para pelajarnya mestilah dibekalkan dengan kemahiran semasa dan akan datang agar mereka tidak ketinggalan malah kehadapan dalam menggunakan teknologi untuk kebaikan manusia.

Tambahnya lagi, kurikulum PASTI juga mestilah mampu melahirkan para pelajar yang kreatif dan inovatif dan bukannya bersifat ‘exam-oriented’ sepertimana yang berlaku di kebanyakan institusi pendidikan pada hari ini.

 

“Keperluan pendidikan masa moden perlu diperkasakan agar insan soleh yang kita impikan bukan sahaja anak-anak yang baik akhlaknya, suci aqidahnya dan berpegang teguh dengan jati diri Islam malah pada masa yang sama, anak-anak ini juga menjadi ejen perubah masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Kualiti PASTI Malaysia 2018 di Hotel Grand Beach Resort, Port Dickson pada 15 Disember yang lalu.

 

Ujarnya lagi, dengan usia yang telah menjangkau 34 tahun dengan sejumlah 2291 cawangan di seluruh negara serta lepasannya telah menjangkau lebih daripada sejuta pelajar, PASTI kini semakin mendapat kepercayaan masyarakat dalam memberikan pendidikan awal Islam kepada kanak-kanak.

Justeru tambah beliau, dalam menghadapi era yang semakin pantas berkembang, PASTI mestilah berani dalam melakukan perubahan bagi memastikan institusi berkenaan kekal relevan serta berdaya saing.

“Persoalan yang lebih penting adalah, apakah PASTI telah bersedia untuk membawa perubahan dalam organisasi untuk mempersiapkan generasi akan datang.

“Era ‘Internet of Things’ dan Revolusi Industri 4.0 sudah pasti menuntut kepada pendekatan baru dalam mendidik dan membangunkan modal insan berjiwa Islam,” katanya.

 

https://berita.pas.org.my/pasti-berperanan-beri-dimensi-ba…/

 

.

Lihat Semua Berita