Berita Terkini

Hari Anugerah Kualiti PASTI Malaysia Tuesday | 30 December 2014

Seawal jam 8 malam pada 20 Disember 2014, telah bermula Majlis Anugerah Kualiti PASTI Malaysia 2014 di De Rhu Beach Resort, Balok, Kuantan, Pahang. Di awal majlis, hadirin bersama-sama menyanyikan  lagu Negaraku, lagu Negeri Pahang, serta lagu rasmi PASTI. Al-Fadhil Ustaz Roslan Bin Haji Darus telah memimpin bacaan doa sebelum memulakan majlis. Majlis dimulai dengan jamuan makan malam sambil diserikan dengan persembahan nasyid dari kumpulan Nasyid Cahaya Hati. 

Majlis pada kali ini dirasmikan oleh Yang Berbahagia Ir Haji Khairil Nizam bin Khirudin, Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia. Beliau mengucapkan tahniah kepada semua penggerak serta pelajar PASTI di atas kejayaan yang telah dicapai. Beliau berharap agar PASTI Malaysia lebih sukses dan berjaya.

Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Haji Hassan Bin Haji Ahmad turut memberi ucapan dalam majlis tersebut. Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua murid yang telah berjaya menjadi yang terbaik di peringkat negeri masing-masing. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pengurusan PASTI Kawasan dan Negeri yang telah berjaya merangkul anugerah KPI terbaik dan anugerah 3K( Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan).

Program Hari Kualiti PASTI Malaysia yang diadakan setiap tahun ini adalah sebagai pengiktirafan kepada murid-murid yang cemerlang dari sudut akademik, PASTI Kawasan terbaik, serta PASTI negeri yang mendapat KPI “A”. Program ini adalah sebagai ransangan dan motivasi kepada seluruh penggerak serta pelajar PASTI untuk terus memacu kecemerlangan pada masa akan datang.

Sebelum acara penyampaian anugerah, majlis terlebih dahulu diserikan  dengan persembahan pidato oleh  pelajar PASTI Indera Mahkota, Pahang. Acara diteruskan dengan penyampaian anugerah Pelajar Cemerlang 5 Tahun, Pelajar Cemelang 6 Tahun, anugerah KPI Kawasan terbaik mengikut negeri, anugerah KPI “A” Negeri, serta anugerah pertandingan 3K. Johan pertandingan 3K telah disandang oleh PASTI Al Falah, Kawasan Taiping, Perak, manakala naib johan disandang oleh PASTI As Syakirin  Kawasan Shah Alam , Selangor,  serta PASTI Saidatina Khadijah Kawasan Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan pula mendapat tempat ketiga.

Majlis diakhiri dengan zikir asmaul husna yang dibaca beramai-ramai. PASTIMalaysia mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang hadir pada majlis tersebut.