Berita Terkini

PASTI Malaysia di Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke 3. Friday | 27 March 2015

Alhamdulillah, syukur pada Illahi kerana Program  Ijtima' Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke 3 berjalan dengan jayanya.

 

Ijtima' tersebut mengumpulkan pimpinan-pimpinan gerakan Islam dari seluruh dunia. Begitu ramai juga rakyat Malaysia dari serata negeri mahupun pengunjung luar negara yang mengambil berat tentang isu Islam sedunia turut hadir mengimarahkan ijtima'.

PASTI Malaysia turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua hadirin yang tidak putus-putus berkunjung ke tapak gerai dan tapak pameran PASTI pada program tersebut. Semoga perkongsian ilmu daripada pihak PASTI menjadi pedoman dan inspirasi kepada semua ibu bapa serta pendidik di luar sana. Ketua Pengarah PASTI, Haji Hassan Bin Haji Ahmad yang turut meluangkan masa di tapak pameran  tidak lekang berkongsi ilmu kepada para hadirin yang berkunjung.

Jemputan kehormat yang turut mengunjungi tapak pameran PASTI adalah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS Malaysia, Saudara Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS Malaysia, pimpinan-pimpinan Gerakan Islam Sedunia, serta ramai lagi.

PASTI Malaysia juga menyokong penuh resolusi perbincangan kolektif para perwakilan dalam Persidangan Ijtima’  yang dinamakan Deklarasi Rusila 2015. Perbincangan tersebut telah diwakili oleh perwakilan dari 41 buah Negara. Antara resolusi tersebut menyentuh tentang Isu Palestin, Kebajikan Musliam minority dan Jaringan Sivil, dan Pengupayaan Dakwah di Negara Umat Islam. Deklarasi Rusila 2015 diumumkan pada 21 Mac 2015 di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Terengganu oleh Pengarah Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-3/2015, Tuan Haji Hussin bin Ismail.

 

PASTI Malaysia berharap semoga program seperti ini dapat menjadi semangat kebangkitan kepada semua umat Islam untuk lebih dekat kepada Allah serta prihatin terhadap sesama umat Islam tidak kira di dalam Negara, mahupun luar Negara.