Berita Terkini

PENUBUHAN PASTI CHUM DI HHLOUNG KRATIE, CAMBODIA. Wednesday | 01 April 2015

Alhamdulillah sekali lagi Allah permudahkan PASTI Malaysia untuk mengembangkan cawangannya di luar negara. Kali ini, masyarakat di wilayah, Kratie, Kemboja telah tertambat hati dan tertarik dengan PASTI, seterusnya menubuhkan PASTI yang diberi nama PASTI Jong Krasang.

Bagi merealisasikan penubuhan PASTI Jong Krasang di Wilayah Kratie, pimpinan PASTI Malaysia sendiri telah melawat dan merasmikan penubuhan PASTI tersebut. Lawatan diketuai oleh Ketua Pengarah Tuan Haji Hassan dan diiringi oleh timbalan-timbalan ketua pengarah iaitu Dr. Roseman, Saudara Mad Shahmiour dan Tuan Haji Kadir, serta setiausaha Tuan Haji Rosli dan Saudara Mohd Badaruddin, Bendahari PASTI Malaysia. Rombongan pimpinan PASTI Malaysia bertolak ke Kemboja pada 28 Mac 2015, pada hari Sabtu yang lepas.

Majlis penyerahan watikah penubuhan PASTI Jong Krasang telah diadakan pada 29 Mac 2015, hari Ahad. Watikah diserahkan kepada Tuan Haji Mohd Ali Bin Abdul Latif dan Saudara Man Saly. Pada majlis tersebut juga, ketua pengarah telah menyampaikan sumbangan kepada pengurusan PASTI dan tidak ketinggalan kepada guru-guru PASTI di sana. Pelajar-pelajar PASTI turut menerima sumbangan dalam bentuk buku dan alat tulis.

Dalam ucapan Ketua Pengarah, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada masyarakat Kemboja yang menyambut dengan baik rombongan PASTI Malaysia dan mengharapkan mereka dapat bersama-sama membantu dalam menjayakan pendidikan Islam untuk membangunkan masyarakat di sana. Beliau juga menyatakan bahawa dengan membantu menubuhkan PASTI adalah sebagai sumbangan bersama untuk membangunkan Islam di Kemboja. Beliau memberi jaminan bahawa PASTI Malaysia akan sentiasa memberikan perhatian dan bantuan khusus kepada perkembangan PASTI tersebut.

Selain merasmikan serta menyerahkan watikah penubuhan PASTI Jong Krasang, PASTI Malaysia turut melaksanakan ibadah aqiqah di kampong tersebut. Seekor lembu telah disembelih sendiri oleh Ketua Pengarah PASTI Malaysia. Pimpinan PASTI Malaysia turut bergotong-royong bersama masyarakat di sana dalam majlis kenduri dan menyediakan makan malam.

Alhamdulillah, sepanjang di sana, pimpinan PASTI Malaysia telah bersama masyarakat, serta dibawa melawat sekitar perkampungan di Wilayah Kratie. Mereka turut solat berjemaah dengan penduduk setempat, malahan Ketua Pengarah juga diberi peluang menyampaikan kuliah subuh kepada jemaah masjid Kampung Cheteilploh pada pagi Isnin 30 Mac.

Rombongan PASTI Malaysia sangat terharu dan menghargai jasa baik warga masyarakat Melayu Champa di kampong tersebut. Walaupun mereka hidup dalam suasana yang serba kekurangan dan kemudahan yang terhad, namun mereka sentiasa bersedia menerima tetamu, memberi layanan yang terbaik serta bersungguh-sungguh dalam penubuhan PASTI. Semoga usaha ini diberkati Allah.