Berita Terkini

SAMBUTAN HARI GURU PASTI MALAYSIA 2015 Wednesday | 20 May 2015

KUCHING: PASTI Malaysia  telah menganjurkan Sambutan Hari Guru sebagai tanda penghargaan dan  mengenang jasa serta pengorbanan guru-guru PASTI di seluruh Malaysia. Sambutan berjalan dengan gilang-gemilang pada hari Sabtu, 16 Mei baru-baru ini di Penview Hotel Kuching, Sarawak. 

Sambutan telah dihadiri oleh ratusan wakil-wakil guru PASTI dari seluruh Malaysia, wakil pimpinan-pimpinan PASTI di pelbagai peringkat serta Ahli Lembaga Pengarah PASTI Malaysia. Turut menjadi tetamu kehormat dalam majlis tersebut  adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Saudara Suhaizan Bin Kaiat.

Semua hadirin sangat berbesar hati apabila Majlis dirasmikan oleh Naib Presiden PAS Malaysia, Dato’ Tuan Ibrahim Bin Tuan Man. Ucapan yang begitu semangat daripada Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sangat meninggalkan kesan yang positif kepada semua guru PASTI yang hadir.

Beberapa anugerah turut disampaikan kepada guru-guru PASTI antaranya Tokoh Guru PASTI Negeri 2015, dan Anugerah Guru Paling Lama Berkhidmat setiap negeri.  Anugerah lain adalah Anugerah Tokoh Guru PASTI Kebangsaan yang disandang  oleh Hajah Saadiah Bt Abu Bakar, serta Anugerah Tokoh Siti Khadijah pula disandang oleh Puan Zarina Bt Khalid.

Guru-guru PASTI Malaysia telah menunjukkan pencapaian yang amat memberangsangkan dan membanggakan apabila prestasi murid-murid PASTI meningkat dari masa ke semasa. Guru-guru PASTI telah banyak menyumbang tenaga dan idea bagi memastikan kualiti pembelajaran di PASTI di tahap yang maksimum. Dengan bantuan guru-guru PASTI juga telah menyumbang kepada pertambahan pelajar PASTI seramai lebih daripada 100 ribu pelajar di seluruh Malaysia.

Bagi memastikan kualiti guru-guru, PASTI Malaysia telah menyediakan pelbagai kursus dan praktikal kepada semua guru PASTI. Selain kursus, mereka turut memantapkan diri dengan menghadiri tamrin, kem, serta banyak kerja-kerja sosial bersama masyarakat. PASTI Malaysia mengharapkan agar semua guru-guru PASTI menjadi guru yang  berkebolehan, berinovasi, berakhlak mulia dan berwawasan, tidak rasa jemu dengan tugas-tugas yang diamanahkan dalam membentuk generasi anak-anak PASTI yang berilmu dan soleh.

PASTI Malaysia turut mengucapkan jutaan tahniah kepada Pengarah PASTI Sarawak, SM Salim Bin Sharif, seluruh warga kerja  PASTI Negeri Sarawak serta seluruh warga PASTI  yang telah berjaya menganjurkan Sambutan  Hari Guru yang begitu meriah.