Berita Terkini

ISTIADAT KONVOKESYEN PERGURUAN PASTI MALAYSIA KALI KE -9 Wednesday | 27 July 2016

sumber Penulisan oleh : Saudara Mukhtar Suhaili.

Beliau merupakan Bendahari DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA dan merangkap SETIAUSAHA BADAN PERHUBUNGAN PAS SARAWAK 

 

TAHNIAH DAN SYABAS 722 GURU PASTI YANG MENERIMA SIJIL SEMPENA ISTIADAT KONVOKESYEN PERGURUAN PASTI MALAYSIA KALI KE-9

Alhamdulillah atas segalanya. Tahniah dan syabas kepada 722 orang Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) seluruh negara yang telah menerima Sijil Perguruan PASTI Malaysia baru-baru ini. Guru-guru yang telah menyelesaikan siri Kursus Latihan Perguruan PASTI yang berlangsung selama 2 tahun ini menerima sijil masing-masing sempena Istiadat Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia Kali Ke-9.

Majlis tersebut telah diadakan di D'Hotel Seri Iskandar, Perak Darul Ridzuan pada 22-23 Julai 2016 = 17-18 Syawal 1437H. Sidang Pertama telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, manakala Sidang Kedua pula telah disempurnakan oleh Presiden PAS YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Turut hadir Ketua Pengarah PASTI Malaysia YB Ustaz Mohd Azam Abdul Samat, Pesuruhjaya dan Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Perak, Ahli Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ahli Lembaga Pengarah (ALP), Majlis Guru PASTI Malaysia, Pengerusi-pengerusi Negeri dan penggerak-penggerak PASTI.

Tuan Guru Presiden di dalam ucapan beliau telah memetik sebahagian Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Ma'idah ayat 3 berikut:

الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

"Pada hari ini orang-orang kafir telah berputus asa untuk (mengalahkan) agama kalian, sebab itu janganlah kalian takut kepada mereka dan takutlah kepadaKu. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kalian agama kalian, dan telah Kucukupkan kepada kalian NikmatKu dan telah Kuredhai Islam itu jadi agama bagi kalian."

Ayah Chik TGHH menegaskan betapa pendidikan Islam memainkan peranan penting dalam pembinaan generasi dan memandaikan ummah. Musuh-musuh Islam dengan pelbagai gerakan mereka antaranya Westernization (pemBaratan), Kristianisasi, Liberalisasi dan sebagainya, namun yakinlah bahawa Islam tidak dapat dikalahkan dan tidak mungkin akan dihapuskan.

Rahsianya ialah jatidiri dan sahsiah diri melalui ilmu dan tarbiyah mengikut acuan petunjuk Allah SWT dan selari dengan Sunnah Baginda Nabi Muhammad SAW. Islam sesungguhnya adalah rahmat sekalian alam (rahmatan lil 'alamin) untuk menyelamatkan manusia dunia dan Akhirat.

Tuan Guru Presiden juga memetik Sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ مَوْلُوْدٍ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ

“Setiap anak yang lahir dilahirkan di atas fitrah, maka kedua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Majusi, atau Nasrani.”

 

Maka guru-guru PASTI yang diraikan pada hari ini adalah insan pendidik mulia dan terbaik! Serendah-rendah pendidikan bermula dari usia kanak-kanak sangat penting terutamanya Fardhu 'Ain kerana inilah asas menumbuh dan menyuburkan benih-benih generasi umat Islam.

Sekali lagi, ribuan tahniah dan syabas kepada guru-guru PASTI yang bergraduat. Semoga Allah memberkati segala usaha guru-guru samada dalam menimba ilmu atau mencurahkan ilmu yang diperolehi. Teruskan usaha mendidik serta mengasuh anak-anak PASTI dalam usaha kita untuk memenangkan Islam di negara tercinta ini.

 

 

 

             

VISI DAN MISI PASTI

VISI PASTI: Melahirkan insan soleh pintar di Malaysia melalui pendidikan pra-sekolah sebagai elemen terpenting.

MISI PASTI: Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan serta kuantiti PASTI di Malaysia bagi menjadikan PASTI pilihan utama kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam.

FALSAFAH PENDIDIKAN PASTI

Satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek sahsiah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada Islam, Iman dan Ihsan.

Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognotif, psikomotor, bahasa, sosio-emosi dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam.

 

Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredhai oleh Allah SWT di dunia dan di Akhirat.