Berita Terkini

PERUTUSAN KETUA PENGARAH PASTI MALAYSIA 2019. Wednesday | 16 January 2019

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan Semesta Alam, salam dan salawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad (saw) dan keluarganya, para sahabat, para pejuang Islam sepanjang zaman, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. 

Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita masih lagi diberi kesempatan meneruskan kehidupan di atas muka bumi-Nya ini bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai hamba-Nya untuk diri, keluarga, masyarakat, umat Islam dan perjuangan Islam keseluruhannya. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memberi petunjuk dan hidayah kepada kita dalam menjalani kehidupan menuju keredaan-Nya.

Saya bagi pihak PASTI mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutamanya ibu bapa yang sentiasa memberi kepercayaan kepada kami untuk mengasuh dan mendidik anak-anak tuan puan di PASTI ini. PASTI adalah pilihan utama rakyat Malaysia. PASTI menerima permintaan yang sangat tinggi di kalangan ibu bapa masa kini. Pada tahun 2019, jumlah murid PASTI telah mencecah melebihi 130 ribu orang di 2,300 buah PASTI di seluruh negara.

Di awal penubuhannya, PASTI diasaskan daripada hasil usaha murni pimpinan PAS terdahulu yang mempunyai kesedaran serta kesungguhan untuk menjadikan pendidikan berteraskan Islam. Pada tahun 1988, PASTI diletakkan di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

PASTI beroperasi secara sah di sisi undang-undang melalui Akta Pertubuhan 1966 sebagai aktiviti parti dan selari dengan kehendak Perlembagaan PAS, Fasal 6(2) berkaitan usaha-usaha pendidikan. PASTI tidak berorientasikan perniagaan tetapi matlamat utamanya melaksanakan khidmat fardu Kifayah kepada masyarakat dan umat Islam. 

Seramai lebih 7,500 orang guru terlatih dan berkemahiran berkhidmat di PASTI. PASTI melalui Institut Perguruan PASTI Malaysia (IPPM) sentiasa memberi latihan yang berterusan kepada guru-guru ini sepanjang tahun. IPPM telah memperluaskan Sijil Perguruan PASTI kepada latihan di peringkat diploma iaitu Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK). Usaha gigih ini dilaksanakan dalam rangka melahirkan guru PASTI yang berilmu, terlatih dan profesional sekaligus menjadikan PASTI institusi pendidikan prasekolah yang berkualiti dan unggul selari dengan perkembangan arus perdana pendidikan negara.

Di PASTI, anak-anak menerima asuhan dan pendidikan Islam dan akademik. Selain mempelajari bahasa, sains dan matematik, mereka juga dibimbing agar bersyahsiyah Islam melalui penekanan perlaksanaan ibadah wajib dan sunat, doa-doa amalan harian, menghafaz surah-surah Al-Quran serta Hadis Rasullullah (saw) dan mempelajari sirah para Nabi bagi membentuk akhlak yang mulia. Aktiviti kokurikulum juga telah dirancang sejak awal tahun seperti sukaneka, lawatan sambil belajar dan sebagainya lagi. Usaha mencungkil bakat anak-anak melalui program Alam Ria PASTI serta Pesta Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring akan diadakan pada tahun ini bermula di peringkat PASTI Kawasan, Negeri sehingga peringkat Kebangsaan. Semoga segala usaha dan perancangan ini dapat membentuk anak-anak PASTI menjadi insan soleh, pintar dan berketrampilan, menjadi kebanggaan para ibu bapa.

Akhirnya, saya mewakili PASTI Malaysia sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para ibu bapa yang sentiasa memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada PASTI. Tidak dilupakan juga kepada para muallimah dan Jemaah pengurusan PASTI seluruh Malaysia yang telah berjaya memulakan sesi persekolahan 2019 dengan iltizam dan semangat yang tinggi. Diharapkan permulaan baik tahun 2019 ini menjadi pemangkin untuk kita terus bekerja keras dan sentiasa menjaga nama baik PASTI. Semoga rahmat dan nusrah daripada Allah SWT sentiasa mengiringi kerja amal kita seterusnya membawa kejayaan hebat kepada PASTI dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

YB. USTAZ MOHD AZAM BIN ABD SAMAT
Ketua Pengarah PASTI Malaysia