Berita Terkini

MGP Pulau Pinang sasar guru peroleh diploma Monday | 22 April 2019

PERMATANG PAUH: Guru-guru PASTI disaran mengikuti program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) sebagai menyahut cabaran Kerajaan Malaysia agar memiliki segulung diploma menjelang tahun 2020.
 
Seruan tersebut dikemukakan Pengarah Institut Perguruan PASTI Malaysia (IPPM) Pulau Pinang, Firdaus Yahya yang turut disokong Pengerusi Majlis Guru PASTI (MGP) Pulau Pinang, Mariayati Ibrahim.
 
"Matlamat IPPM ialah menyedia guru PASTI yang terlatih, berkesedaran tinggi, berkualiti dan komited terhadap tanggungjawab dalam memperjuangkan sistem pendidikan Islam," ujarnya di An-Nadhoh, Kubang Semang, di sini hari ini.
 
Perkara itu dinyatakannya pada Usrah Perdana MGP yang menampilkan naqib jemputan iaitu Exco Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Asril Hafiz Che Hashim membawa tajuk "Pendidikan dan Isu Semasa".
 
Menerusi usrah itu turut diperingatkan kepada para guru untuk sentiasa menambah ilmu ke arah peningkatan kualiti yang kini semakin menjadi penilaian kritikal ibu bapa dalam memilih didikan awal anak.
 
Turut hadir memberikan ucapan dan penerangan adalah Pengerusi PASTI Kawasan Tasek Gelugor, Ustaz Amin Billak menyentuh mengenai modul Alam Ria PASTI pada majlis dihadiri 300 guru PASTI seluruh negeri ini. - HARAKAHDAILY 21/4/2019