Berita Terkini

Guru PASTI selesai jalani peperiksaan DPAK Thursday | 23 May 2019

PERMATANG PAUH: Seramai 23 guru PASTI selesai menjalani peperiksaan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) Institut Perguruan PASTI Malaysia (IPPM) yang berakhir semalam.
Peperiksaan bagi semester ketujuh kumpulan ini telah diadakan di Dewan Seminar Masjid Sembilang, Seberang Jaya, di sini selama dua hari bermula sejak 18 Mei lalu.
 
 
Pengerusi Majlis Guru PASTI (MGP) Pulau Pinang, Mariayati Ibrahim berkata, semua guru PASTI layak untuk memohon DPAK IPPM sama ada bermula dari semester pertama atau keempat atau dari semester keenam.
“Pencapaian ini bukan penyudah proses pembelajaran seseorang guru, tetapi permulaan untuk terus menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran disamping berkongsi ilmu demi merealisasikan PASTI tetap menjadi pilihan utama,” katanya lagi.
Beliau juga berharap agar guru-guru dapat menambah kualiti (Pembelajaran dan Pemudahcara) PdPc dengan mengaplikasikan Pembelajaran Abad Ke-21.
 
Pengarah PASTI Pulau Pinang, Zahareen Abdul Kadir turut membuat lawatan dan memberi sokongan moral kepada guru-guru yang mana peperiksaan ini dilakukan serentak seluruh Malaysia.
Guru-guru tamat peperiksaan akan menerima sijil diploma dalam Majlis Konvokesyen yang akan berlangsung pada bulan Julai nanti.
Terdahulu guru-guru yang layak mengambil peperiksaan ini telah mengikut program Kem Siasah Guru (KSG) Zon Utara pada 22 hingga 26 Mac lalu di Kem PLKN Bukit Besar, Kulim.