Berita Terkini

853 Guru Bakal Terima Diploma di Konvokesyen PASTI Friday | 19 July 2019

BATU CAVES: Seramai 853 graduan Institut Perguruan PASTI Malaysia (IPPM) akan bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI kali ke 11 yang akan berlangsung selama tiga hari, bermula 26 Julai nanti.

Istiadat pembukaan majlis konvokesyen berkenaan yang diadakan di Hotel De Palma, Shah Alam, akan disempurnakan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan.

Mereka bakal menerima diploma dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak pada majlis yang akan berlangsung dalam tiga sidang itu.

Selain itu, dua orang penerima bakal menerima anugerah khas iaitu Anugerah Presiden dan Anugerah Ketua Pengarah PASTI.

Menurut Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Ustaz Syarhan Humaizi, semua penerima adalah dalam kalangan para guru yang telah memenuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan oleh Institut Perguruan PASTI Malaysia yang berperanan menguruskan program latihan guru-guru PASTI di seluruh negara.

Kata beliau lagi, majlis ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha gigih para guru PASTI dalam melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran terbaik supaya dapat mendidik pelajar-pelajar PASTI dengan cemerlang, selari dengan keperluan pendidikan semasa yang semakin mencabar.