Berita Terkini

Tauhid Kepada Allah Tunjang Pendidikan PASTI Friday | 20 December 2019

Tauhid Kepada Allah Tunjang Pendidikan PASTI

GOMBAK : Ketika masyarakat meletakkan nilai sesebuah kejayaan pada bilangan ‘A’ yang diperolehi, para guru PASTI sebaliknya diingatkan supaya memberikan penumpuan terhadap pendidikan tauhid dalam kalangan anak-anak PASTI.

Kata Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden, kejayaan sebenar di sisi Islam bukan semata-mata dilihat pada pencapaian akademik, tetapi juga pada sejauh mana ketinggian taqwa mereka kepada Allah S.W.T.

Memetik maksud firman Allah dalam ayat ke-13 Surah Luqman, beliau berkata pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya agar tidak mensyirikkan Allah S.W.T. menjadi dalil yang menjelaskan keutamaan pendidikan tauhid diberikan pada usia awal kanak-kanak lagi.

“Inilah tunjang Pendidikan kita. Ketauhidan kepada Allah S.W.T mestilah ditanam dalam diri anak anak semenjak dari kecil sehingga menjadi aqidah yang mantap di dalam jiwa.

“Kita berharap agar para guru PASTI terus memberi perhatian yang tinggi kepada tunjang ini walaupun cabaran dan kehendak semasa kadang kadang melihat ‘A’ yang ingin dinilai,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Anugerah Kualiti PASTI Malaysia 2019 yang berlangsung di Hotel Mercure, Selayang, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia menjelaskan, sokongan serta kepercayaan yang diberikan semua pihak membolehkan PASTI terus melangkah gagah melaksanakan amanah menguruskan pendidikan pra sekolah sampai ke hari ini.

Ini katanya menjadi bukti bahawa masyarakat semakin menerima PAS bahkan parti berkenaan mampu menawarkan khidmat kepada rakyat walaupun belum memerintah negara.

“PAS melalui PASTI telah membuktikan bahawa PAS mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menjadi pilihan terbaik untuk memimpin negara,” tegasnya.


https://berita.pas.org.my/tauhid-kepada-allah-tunjang-pend…/